Thursday, February 27, 2014

Udara Kotor Cemar Kehamilan




BANDAR yang tercemar di­katakan lebih berbahaya kepada wanita hamil berbanding me­rokok.
Kajian Jabatan Ke­sihatan Amerika Syari­kat (AS) mendapati bakal ibu berisiko tinggi mendapat komplikasi akibat pendedahan kepada ekzos kereta dan sisa industri.
Kajian itu mendapati jika bakal ibu itu ter­dedah terlalu lama ke­pada ­pencemaran udara, ia mampu membawa risiko peningkatan pen­yakit tekanan darah ting­gi sewaktu hamil.

Saintis di Universiti Florida berkata, terdapat dua jenis pencemaran yang paling teruk iaitu karbon monoksida dan sulfur dioksida.
Sulfur dioksida dilepaskan dari loji jana kuasa dan perindustrian manakala kebanyakan karbon monoksida terhasil menerusi ekzos kereta.

“Perkembangan janin sangat sensitif apa­bila membabitkan faktor alam sekitar.

“Disebabkan itu, kita mahu melakukan kajian ini. Hipertensi (tekanan darah tinggi) khususnya, dikaitkan dengan peningkatan morbiditi dan kematian, mengakibatkan bermacam masalah kepada ibu dan janin termasuklah kelahiran pramatang,” kata penolong profesor epidemiologi di kolej Kesihatan Awam dan Perubatan dan Profesion Kesihatan, Dr Xiaohui Xu.

Gangguan hipertensi menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada ke­hamilan seorang wanita.

Walaupun memberi risiko yang serius kepada ibu dan bayi, hanya se­dikit maklumat dike­tahui yang menyebabkan keadaan ini berlaku dalam kalangan wanita hamil, kata penyelidik.

Untuk lebih mema­hami, penyelidik meng­kaji dan mendapatkan data daripada wanita yang sudah dan bakal melahirkan anak di Jacksonville, Florida antara tahun 2004 dan 2005 bersama data alam sekitar dalam kalangan masyarakat di sana.

Sampel itu mempunyai lebih daripada 22,000 wanita hamil.

Penyelidik mengukur jumlah pencemaran yang dialami wanita hamil dan mengukur tahap beberapa jenis pencemaran.

Antara sampel wa­nita yang diterima, 4.7 pe­ratus mengalami gangguan hipertensi semasa mengandung.

“Ter­dedah kepada pen­cemaran udara sewaktu trimester pertama kehamilan boleh mening­katkan risiko kepada seseorang wanita untuk mengalami masalah terbabit,” kata Dr Xu.

Mereka menentu­kannya selepas bebe­rapa faktor lain yang boleh menjejaskan risi­ko wanita untuk mengalami tekanan darah tinggi seperti taraf sosio ekonomi, terdedah kepada bahan tercemar dan merokok semasa mengandung.

Tetapi menurut saintis­, mereka tidak dapat menentukannya secara muktamad sama ada pendedahan di awal kehamilan atau lewat kehamilan lebih cenderung untuk meningkatkan risiko wanita terhadap darah tinggi.

“Ia kelihatan seperti keseluruhan tempoh mengalami kesan tekanan darah tinggi,” katanya.

Ujar penyelidik, berdasarkan pe­nemuan terbabit, kawalan yang lebih diperlukan terhadap pencemaran udara bagi mencegah komplikasi ber­bahaya dalam kalangan wanita hamil dan bayi.

Penyelidik kini merancang memperluaskan kajian mereka ke seluruh negeri serta melakukan ujian lain terhadap perkara yang boleh terjejas akibat pencemaran.

“Kami sedang me­lihat hasil yang diperoleh.

“Kami juga mahu melihat hasil daripada kelahiran pramatang dan bayi yang kurang berat badan ketika lahir serta mendapatkan hasil ujian terhadap perkembangan janin sekiranya bernafas dalam keadaan udara yang tercemar,” kata Dr Xu.
 
 
Sumber dari Harian Metro 28/02/2014

No comments:

Post a Comment